mari menjadi semangat baru!

Dalam minggu-minggu yang baru lepas, kita digemparkan dengan rusuhan-rusuhan menentang kezaliman yang berlaku di Syria, bumi Syam tempat yang pernah dijejaki Rasulullah sewaktu berdagang ke sana. Juga bumi yang dibebaskan dari kegelapan pemerintahan Rom oleh jeneral-jeneral Islam yang punya superpower keimanan seperti Abu 'Ubaidah dan Khalid bin al-Walid.


Salah satu tempat yang menyaksikan perngorbanan dan pertumpahan darah umat islam Syria yang tertindas ialah Homs. Ya, Homs! Bumi bersejarah yang juga pernah menikmati pemerintahan yang adil di bawah seorang pemimpin yang sangat hebat.

Anda pasti tertanya-tanya, siapakah pemimpin ini?

Pasti mempunyai kekuatan, sehingga dapat menundukkan kekacauan.

Pasti mempunyai rupa fizikal yang indah, sehingga disayangi oleh rakyatnya.

Sama sekali tidak. 

Pemimpin yang dimaksudkan ialah Sa'id bin 'Amir, salah seorang sahabat Rasulullah SAW. Sudah pasti keadaan akan lebih aman pada hari ini sekiranya ada lebih ramai rijal seperti Sa'id. Ingatlah, sesungguhnya orang-orang beriman itu merupakan rahmatan lil 'alamiin.

Pasti juga anda tertanya-tanya, kualiti apakah yang dimiliki oleh Sa'id, sehingga penulis berani berkata sedemikian rupa?? Mari kita mengambil 'ibrah dari kisah di bawah.

Sa'id bin 'Amir diutus oleh 'Umar untuk menjadi gabernor di Homs. Homs pada zaman itu terkenal kerana penduduknya gemar merungut tentang pemimpin mereka. Semasa 'Umar menziarahi Homs, beliau bertanya jika ada apa-apa rungutan tentang pemimpin mereka, Sa'id

Mereka memberikan empat rungutan.

Yang pertama, kata penduduk Homs, Sa'id tidak meninggalkan rumahnya sehingga matahari sudah naik dan hari menjadi panas.

Yang kedua, beliau tidak berjumpa denga sesiapa pada waktu malam.

Yang ketiga, ada 2 hari dalam sebulan di mana beliau tidak meninggalkan rumah langsung.

Yang keempat, beliau kadangkala pengsan, dan ini menjengkelkan kami walaupun tidak beliau sengajakan.

Maka 'Umar memanggil Sa'id untuk membela dirinya.

Untuk rungutan pertama, Sa'id mengatakan bahawa isterinya tidak mempunyai pembantu, jadi beliau menguli tepungnya sendiri, menunggu tepung tersebut naik, membakar tepung tersebut menjadi roti, sembahyang Duha, kemudian baru beliau meninggalkan rumahnya.

Yang kedua, ialah kerana beliau telah mengkhususkan siang hari untuk berjumpa rakyat, sedangkan malamnya untuk Allah SWT.

Yang ketiga, Sa'id tidak mempunyai pembantu untuk membasuh pakaiannya dan tidak pula memiliki set pakaian yang ekstra. Jadi beliau membasuh pakaiannya dan menunggu pakaian tersebut kering sebelum berjumpa dengan penduduk Homs.

Yang keempat, sewaktu beliau belum memeluk Islam, beliau melihat dengan mata kepala sendiri penyeksaan yang dijalankan oleh Quraisy terhadap Khubaib al-Ansari. Mereka menoreh badan Khubaib kepada cebisan-cebisan kecil sambil bertanya, "mahukah kamu menyelamatkan diri dan melihat Muhammad di tempatmu?" Khubaib menjawab, "Demi Allah, aku tidak akan menerima tawaran kamu dan pulang kepada keluargaku dengan selamat walaupun kamu menawarkan semua nikmat dunia, dan mendedahkan Nabi SAW kepada bahaya, walaupun sekecil cucukan diri."

Setiap kali Sa'id teringat kejadian ini, beliau pengsan kerana takutkan azab Allah, kerana tidak berbuat apa-apa untuk menyelamatkan Khubaib. 

Allahuakbar.


Inilah sifat seorang mu'min yang hebat, yang sentiasa ingat akan dosa dan kesilapannya, dan tidak pula menghitung-hitung kebaikan amalannya. Yang rendah diri dan sering bermuhasabah dengan setiap amalannya.

Bagaimana pula dengan kita?
Kuatnya bukan pada kekuatan tentera atau pengaruh, tapi pada kekuatan iman.

Indahnya bukan pada fizikal, tapi keindahan hati dan budi.

Alangkah hebatnya jika kita dapat membina diri kita sehingga menjadi seperti Sa'id bin 'Amir dan para sahabat yang lain.

Mari kita penuhi masa dengan jilsah-jilsah tafakkur. 

Mari kita basahkan lidah dengan seruan supaya manusia tunduk kepada Allah.

Semoga kita sentiasa bersama orang-orang yang beriman. Sedikit demi sedikit, pasti kita akan dapat membina rijal yang akan menjadi rahmah kepada alam ini.



Glosari

rijal - lelaki
rahmatan lil 'alamiin- rahmat untuk seluruh alam
jilsah tafakkur - duduk-duduk peringatan

0 comments: