Jadi sepasang kasut lebih baik

Assalamualaikum,

Dari zaman-zaman sekolah dulu, penulis suka menulis cerita. Paling seronok sekali tulis karangan autobiografi, karangan tentang kehidupan barang-barang yang tak bernyawa.

'aku sebatang pensel'.
'aku sebuah kereta'.
'aku sekeping laptop'.

Karangan autobiografi ni pernah menjadi bahan jenaka penulis dan rakan. Sebab apa? sebab jalan ceritanya sangat 'cliche'. Contohnya;

"Aku sepasang kasut. Aku dilahirkan di sebuah kilang di Lembah Beringin. Selepas dilahirkan, aku diberikan nama Crocs. Aku diwarnakan dengan warna hitam, dan di bahagian depanku ada corak-corak petak hitam dan putih, seakan-akan corak papan catur. Ada yang mengatakan aku sebahagian daripada konspirasi Illuminati. Ah! Pedulikan apa orang cakap, asalkan cantik di mata sendiri.


Aku kemudiannya dijual di sebuah kedai di Jusco Prai. Seorang lelaki datang membelek-belekku.Tak sampai 5 minit, aku dibeli dan dibawa pulang ke rumahnya. Cantik rumahnya, sesuai dengan statusku sebagai kasut Crocs yang mewah. Tuanku sangat menyayangi aku, diletakkan aku dalam rumah supaya tidak dicuri, dan aku dibangga-banggakan kepada rakan-rakannya.

Setiap hari aku dibawa ke sana ke mari, melalui jalan simen, jalan berjubin, jalan tar. Kadang-kadang terpijak benda yang kurang enak. Jijik! jerit hati getahku. Tapi apakan daya, aku hanya sepasang kasut, nak mengadu pun tak boleh.

Lama-kelamaan, aku semakin uzur, badanku semakin kurus dimamah jalan tar yang kasar. Tapakku yang dahulu berbunga semakin licin, badanku berhabuk dan kotor. Aku risau, menanti hari yang pasti tiba...

..Memang, telah ditakdirkan hidupku berakhir di buangan. Kecantikan yang dulu aku bangga-banggakan, tak berguna sedikitpun sekarang. Aku pasrah, mungkin aku akan dihantar ke rumah kebajikan, masjid ataupun Somalia. Apakan daya, aku hanya sepasang kasut."

Nota kaki : kepada adik-adik sekolah kebangsaan yang membaca blog ini, penulisan di atas tidak akan mendapatkan anda gred A, sebaliknya guru akan menuduh anda meminta abang anda untuk menulis karangan.

Macamana agaknya kalau ditulis autobiografi bertajuk 'aku seorang Manusia moden' ye?



"Aku seorang manusia moden. Aku dilahirkan di sebuah hospital di Lembah Beringin. Selepas dilahirkan, aku diberi nama Khairol. Aku berkulit sawo matang, berambut hitam jambul di depan. Ibu bapa aku sangat gembira dengan kelahiranku. "tengok, comel kan baby i" kata ibuku kepada rakan-rakannya. Setiap hari aku dimanjakan oleh mereka, semua yang aku nak mereka belikan. Indah sungguh hidup.

Bila cukup usiaku, aku dihantar ke sekolah. Setiap hari mak akan berpesan, 'belajar elok-elok ye, nanti boleh jadi doktor, kerja doktor banyak duit.'

Seusai sekolah rendah, aku memasuki sekolah menengah. Gayaku yang ranggi menyebabkan rakan-rakanku memanggilku K-Rok. Ranggi-ranggi pun, aku tetap belajar. Keputusan cemerlang semasa SPM menyebabkan aku ditawar untuk belajar perubatan di Ireland. 'Wah, nanti dah kerja mesti banyak duit', getus hati kecilku.

7 tahun yang memeritkan di Ireland, ditambah beberapa tahun yang jerih di hospital kerajaan, ditambah beberapa tahun lagi, aku akhirnya bergelar Doktor Pakar. Gaji bulananku lumayan, aku memakai kereta mewah, dan makcik-makcik di rumah semuanya memandang tinggi kepada aku. Memang gah!

Beberapa tahun berlalu lagi. Aku sudah semakin uzur, badanku semakin lemah dimamah penyakit kronik. Aku berhabis wang untuk mengubat penyakit ini, tapi masih tak sembuh. Rambut hitamku yang bersinar sudah tiada, badanku gamaknya seperti orang dalam kemarau. Aku tahu kesudahan penyakit ini, tak dapat ditolak lagi..

..Kini di akhir usia, wang yang aku kumpulkan dulu tak berguna sedikitpun. Mana kereta mewahku? Mana rumah bangloku? Aku telah melupakan tujuan sebenarku..."

Nota kaki 2 : adik-adik kalau buat karangan di atas, nescaya guru anda akan sujud keinsafan sambil mengalirkan air mata.

Demikianlah kisah seorang manusia moden..lebih kurang saja macam sepasang kasut bukan? Rutin hidup yang sudah boleh diramal, akhirnya berakhir dalam keadaan yang mengharukan.

Sekurang-kurangnya kasut itu mampu berbakti, melaksanakan tujuan hidup melindungi kaki tuannya di kala kedinginan musim sejuk London. Kita?

0 comments: