alhamdulillah, kebanyakan dari kita dilahirkan sebagai seorang Muslim.
di atas kad pengenalan Malaysia berwarna biru tertera agama kita : Islam.
Dari kecil kita dihantar ke kelas-kelas mengaji. Masa zaman penulis muda-muda dulu belum pakai Iqra' 1 hingga 6, penulis belajar menggunakan muqaddam yang mengandungi surah-surah juzu' 30.
Dan kita diajar subjek Pendidikan Agama Islam sehingga ke tingkatan 5.
nota kaki: penulis dulu selalu berseloroh macamana mahu menjawab soalan-soalan PAI. kalau ditanya 'apa kelebihan buat itu dan ini', jawapan mudah yang akan mendapat markah mesti 'dikasihi Allah dan Rasul', 'dikasihi ibu bapa' dan sewaktu dengannya. Ni zaman dulu-dulu lah, zaman muda-muda, zaman kurang faham. Sekadar hafal untuk periksa saja.
Memang mudah, lahir sebagai seorang islam di negara islam. terlampau mudah sehinggakan kita kadang-kadang 'take for granted' (ambil sambil lewa), bak kata mat salleh. kalau benar kita seorang muslim, apa hak-hak dan tanggungjawabnya? apa ye? kalau benar-benar diamalkan islam di negara kita, pasti bayi-bayi akan lahir dengan sah, dan dijaga dengan sebaiknya (minggu lepas banyak orang post di Facebook gambar bayi dikelar perutnya, ngeri sungguh -.-)
Jadi hari ini penulis ingin bercerita. Kisah seorang lelaki yang sangat hebat, yang berhempas-pulas semata-mata mahu mencari kebenaran.
Nama beliau Salman al-Farisi (Salman si Farsi). Beliau salah seorang sahabat Rasulullah yang masyhur dan namanya disebut-sebut ke hari ini. Apa istimewanya Salman al-Farisi?
Beliau bukan seorang Arab, seperti kebanyakan sahabat Rasulullah, tetapi beliau berasal dari Isfahan, yang ketika itu berada di bawah kerajaan Farsi yang merupakan salah satu superpower dunia ketika itu.
empayar farsi. madinah terletak di semenanjung arab, dalam kawasan oren di selatan empayar. |
http://maps.google.co.uk/maps?saddr=Esfahan,+Iran&daddr=Madinah,+Al+Madinah,+Saudi+Arabia&hl=en&ll=28.420391,48.911133&spn=25.392789,29.355469&sll=32.641795,52.68122&sspn=3.057133,3.669434&geocode=FX448gEd2I8UAymZZzKM_jW8PzH1N1jvFni1eg%3BFWM-dQEdXo5cAinVINKXUb69FTHZCDvqT1FULg&vpsrc=6&mra=ltm&t=m&z=5
Salman al-Farisi lahir dalam keluarga yang berprestij dan kaya, ayahnya penjaga api Majusi yang tidak pernah padam, yang disembah oleh kebanyakan orang Farsi.
Pada suatu hari, dia melalui sebuah gereja Kristian. Dia kagum melihat ibadah mereka dan berkata "ini lebih baik dari agama kami." Setelah pulang ke rumah, Salman menceritakan kepada ayahnya tentang apa yang berlaku. Ayahnya menjadi berang mendengar kekaguman Salman terhadap agama Kristian, merantai kaki Salman dan mengurungnya.
Tak lama kemudian, Salman mendengar berita kedatangan kabilah dari Syria. "Syria, tempat bermulanya agama yang baik itu!" Dia dapat melepaskan diri dari kurungan, dan mengikut mereka ke Syria. Di sana, dia menemui ketua gereja dan tinggal bersamanya untuk mempelajari agama Kristian.
Tapi paderi ini tidak amanah! Dia mengumpulkan wang dari orang ramai, kononnya untuk sedekah, tapi kemudiannya paderi menyimpan wang derma untuk dirinya sendiri. Hati Salman yang bersih merasakan sesuatu yang tidak kena dengan amalan paderi ini. Setelah paderi korup meninggal, dia digantikan dengan seorang yang warak dan 'alim, dan Salman lebih sayang kepadanya berbanding sesiapapun.
Tapi ditakdirkan paderi ini juga menemui ajal, dan sebelum beliau meninggal Salman sempat bertanya,
"Kepada siapa kau tinggalkan aku?"
"Wahai anakku, aku tidak tahu orang yang mengikuti jalanku..melainkan seorang lelaki di Mosul.(Iraq)"
Terjadi perkara yang sama.
"Pergilah ke Nisiibin"
Sekali lagi.
"Pergilah ke 'Amuriah (di Rum)"
Sekali lagi. Tapi kali ini sedikit berbeza.
"Aku tidak tahu siapa-siapa yang mengikuti jalan ini..tetapi telah tiba masanya seorang Rasul datang membawa ajaran nabi Ibrahim. Dia akan berhijrah ke kawasan pepohon tamar. Tanda-tandanya; dia tidak mengambil sedekah, tapi menerima hadiah; di antara bahunya ada tanda kenabian. Apabila kau melihatnya, kau pasti mengenalinya."
Lalu Salman mengikut sebuah kabilah. Tapi Salman ditipu! Kabilah itu menjualnya kepada seorang Yahudi Bani Quraizah, dan Salman terpaksa bekerja dengannya. Suatu hari, semasa di atas pohon tamar, Salman mendengar berita kedatangan seorang lelaki dari Makkah yang mengaku dirinya nabi. Salman menggigil. Inikah yang dicari-carinya selama ini??
Salman berjumpa dengan Nabi di Qubaa', dan menghulurkan sedikit makanan kepada Rasulullah. "Aku ingin memberikan makanan ini sebagai sedekah." Rasulullah memberikan makanan tersebut kepada para Sahabat tetapi baginda sendiri tidak menyentuhnya. "Ini salah satu tanda..baginda tidak makan dari sedekah!"
Keesokannya Salman melakukan perkara yang sama, "aku mahu memberikan sesuatu sebagai hadiah". Rasulullah pun makan makanan tersebut bersama para Sahabat.
Tidak lama selepas itu Salman berjumpa dengan Nabi SAW, menyapanya dan berusaha untuk melihat belakang badan Rasulullah. Tapi Rasulullah sudah tahu hajat Salman. Baginda menyelak pakaiannya, dan benar, ada tanda kenabian di antara bahunya. Akhirnya Salman berjumpa kebenaran yang dicarinya, lalu beliau mengucup Rasulullah sambil airmatanya mencurah-curah.
Itu kisah Salman mencari kebenaran. Dikurung, terpaksa berjalan beribu-ribu batu, gurunya meninggal satu-persatu, tapi beliau tidak kisah. Sebab tiada apa yang lebih berharga dari kebenaran.
Kita pula? sejauh mana usaha kita untuk mencari dan menjaga nikmat yang diberikan oleh Allah SWT ini? :-)
0 comments:
Post a Comment